SALAM TERAKHIR
SEORANG  lagi pahlawan Islam yang jihad bermati-matian ketika Perang Uhud ialah  Anas bin Nadhar. Beliau tidak dapat menyertai Perang Badar sebelum ini  kerana masih terlalu muda.
Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang Uhud, beliau sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang.
Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.
Namun  akhirnya Anas mati syahid. Namun dikatakan beliau sempat mengucapkan  selamat tinggal kepada seorang sahabat, iaitu Saad bin Muaz sebelum  mengakhiri nafasnya.
"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai  sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak  di kaki bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad, selamat tinggal," ujar  Anas.
HANZALAH BERJIHAD WALAU BARU BERNIKAH
Seorang lagi pahlawan Uhud yang mempunyai kisah yang  menyentuh perasaan ialah Hanzalah Al Ghasil bin Abu Amir. Hanzalah  dikatakan baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang  sangat jelita.
Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan  Uhud, Hanzalah dikatakan terus bergegas meninggalkan isteri dalam  dakapannya semata-mata untuk menyahut seruan jihad.
Apabila berhadapan dengan musuh di medan perang, Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh dengan membunuh ramai di kalangan anggota tentera Quraisy sehingga membuka jalan kepada beliau yang akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima perang Quraisy.
Hanzalah dikatakan hampir berjaya membunuh Abu Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.
Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai perang dalam keadaan basah seluruh badannya.
Rasulullah  menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja dimandikan oleh para malaikat  kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah masih dalam keadaan  berjunub.
Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.
KEHEBATAN YG TIDAK DAPAT DISANGKAL 
Namun  Rasulullah sendiri juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang pahlawan  yang tidak sahaja berlawan malah mampu mengalahkan musuh.
Dalam  satu peristiwa ketika berlangsung perang itu, iaitu di saat-saat akhir  sebelum perang tamat, telah tersebarnya berita kononnya Rasulullah  terkorban.
Namun apabila mendapat tahu baginda sebenarnya masih  hidup, seorang anggota tentera di pihak musuh bernama Ubai bin Khalaf  terjerit-jerit mencari baginda Rasulullah.
"Di mana orang yang mengaku dirinya itu seorang nabi? Andai dia seorang yang berani, keluarlah bertarung dengan aku, satu lawan satu sehingga salah seorang terkorban.
"Di manakah Muhammad? Aku sendiri malu untuk meneruskan  hidup jika membiarkan si Muhammad ini terus hidup," kata Ubai dengan  sombong dan bongkak.
Mendengarkan cabaran Ubai itu, ramai pahlawan dan sahabat baginda yang menawarkan diri untuk membunuh Ubai bagi pihak baginda.
Namun baginda meminta diberi ruang untuk baginda sendiri berhadapan dengan Ubai.
Sebaik  sahaja Ubai melihat kemunculan baginda maka tanpa ditunggu-tunggu lagi  dia pun terus memacu kudanya dengan deras untuk menyerang baginda.
Lalu  baginda pun meminta sebilah lembing yang sedang dipegang oleh Harith  bin Syimmah. Sebaik sahaja Ubai semakin menghampiri baginda maka dengan  pantas dan sekuat-kuat tenaga baginda melontarkan lembing itu ke arah  Ubai.
Lembing itu tepat sasarannya mengenai leher Ubai sehingga tembus. Ubai mati tersungkur dalam keadaan berlumuran darah.






 
No comments:
Post a Comment