Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan  selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat  suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa  sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat  seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina,  ikhlas dan perlukan sahabat."
Tergerak hati jejaka untuk mengutus  surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu  menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu.  Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis  tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari  betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar  kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua  muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga  dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa  masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.
Pada  suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan  perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya  dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka  diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita,  dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi  pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian  tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali  kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah  itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."
Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa bulan kemudian...
Pada  hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang  dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya.  Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen  keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah  sepertinya.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak  berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi  roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya  kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang  sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat  keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari  imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.
"Catrina?"
Gadis  itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus  menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat  merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama  kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu  denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis itu tersenyum lagi dan  berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis  cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku  memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan  stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang  tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa ramaikah manusia  yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada  rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan  sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah  Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda  itu?
 
No comments:
Post a Comment