Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal  dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah  berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang  miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah.  Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai  Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah,  keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang  sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan  semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru  itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan  berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan  zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun  begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak  terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu  gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan  al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka  menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi  segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai  hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang  sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah  letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi  muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan  al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca  dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan  al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai  keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang  kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin  buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak  terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada  riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat.  Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam  di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat.  Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong  hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap  kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya  Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala  yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala  pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku!  bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua  pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku!  Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang  bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang  menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin  yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati  semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang  menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua  orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah  yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu  pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia  dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku!  Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada  keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam  dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah  Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak  yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap  sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi  lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai  Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai  malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku  berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan  takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau  menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika  Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak  bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
“Perkahwinan  itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada  mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah  perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah  seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia  terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan  lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan  akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata.  Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa  membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar  dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba  yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika  aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku  di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu  maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana  kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah  aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah  keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan  keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135  Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah  meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula.  Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam  Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira  bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang  berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana  perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita?  Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan  berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama  ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang  Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya  hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu  daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati  dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati  kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada  Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta  melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan  itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan  yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu  dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini  sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia.  Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan  itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada  Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap  Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah  Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah  yang kekal abadi.
renung2kan lah......*_*
Perkongsian dari seseorang.
Moga bermanfaat.










 
No comments:
Post a Comment